Tuesday, 12 June 2012

percintaan hebat Saidina Ali kwjh dan Saidatina Fatimah ra





InsyaALLAH.. Perkongsian kisah percintaan hebat Saidina Ali kwjh dan Saidatina Fatimah ra.=) Cinta yang disimpan di dalam hati, namun kuasa Allah mereka saling memendam cinta sehingga satu masa yang ditetapkan mereka dinikahkan hanya dengan mahar sepasang baju besi milik Ali. Begitu mulianya Fatimah RA... Semulia-mulia wanita adalah wanita yang paling rendah maharnya..

**********
Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah S.A.W. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia.
Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah.
"Allah mengujiku rupanya”, begitu batin ’Ali.
Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibanding Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti ’Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi.
Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara ’Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjangnya.Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berda’wah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam karena sentuhan Abu Bakar; ’Utsman, ’Abdurrahman ibn ’Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti ’Ali.
Lihatlah berapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, ’Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan ’Ali?Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaallah lebih bisa membahagiakan Fatimah.’Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin.
”Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam ’Ali. ”Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.”
Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tapi, ujian itu bukan setakat di situ, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khattab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keislamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.
Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, ”Aku datang bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan ’Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?
Pada suatu hari Abu Bakar As-Shiddiq r.a. Umar Ibnul Khatab r.a. dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasul Allah s.a.w. duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasul Allah s.a.w. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq r.a “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”
Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a. Sewaktu Ali r.a. melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dgn tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya: “Anda datang membawa berita apa?”
Setelah duduk beristirahat sejenak Abu Bakar As-Shiddiq r.a. segera menjelaskan persoalannya: “Hai Ali engkau adalah orang pertama yg beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasul Allah s.a.w. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk mempersunting puteri beliau. Lamaran itu telah beliau semua tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t. Akan tetapi hai Ali apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.”
Mendengar perkataan Abu Bakar r.a. mata Saidina Ali r.a. berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata: “Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang semulanya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Imam Ali r.a. Abu Bakar r.a. berkata: “Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a. berhasil mendorong keberanian Imam Ali r.a. untuk melamar puteri Rasul Allah s.a.w.
Beberapa waktu kemudian Saidina Ali r.a. datang menghadap Rasul Allah s.a.w. yg ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasul Allah s.a.w. menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad s.a.w. itu belum memuaskan Ummu Salmah r.a. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?”
“Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad s.a.w.
Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salmah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saidina Ali r.a. kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu kubuka ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasul Allah s.a.w. Ia dipersilakan duduk di depan beliau. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.
Rasul Allah mendahului berkata: “Hai Ali nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!”
Mendengar kata-kata Rasul Allah s.a.w. yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata: “Maafkanlah ya Rasul Allah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Thalib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.
Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasul Allah adalah tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasul Allah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?”
Ummu Salmah melanjutkan kisahnya: “Saat itu kulihat wajah Rasul Allah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Thalib: “Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”
“Demi Allah” jawab Ali bin Abi Thalib dengan terus terang “Anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yg tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu” kata Rasul Allah s.a.w. menanggapi jawapan Ali bin Abi Thalib “engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja.
Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza wa­jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salmah r.a. Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dgn disaksikan oleh para sahabat Rasul Allah s.a.w. mengucapkan kata-kata ijab kabulpernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
“Ya Rasul Allah, itu kuterima dgn baik” jawab Ali bin Abi Thalib r.a. dalam pernikahan itu. Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab.. Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan, bahwa suatu hari, Fatimah berkata kepada ‘Ali: “Maafkan aku, karena sebelum menikah denganmu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” .
Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan Siapakah pemuda itu”

Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah Dirimu..”

*********************

Begitulah cinta yang bersenikan diam.. Mereka saling mencintai, tetapi memendam perasaan itu kerana tidak ingin cinta mereka melebihi cinta kepadaNya..
Cantik ibrah dua insan agung ini.. Titipkanlah cintamu kepada jodoh yang belum diketahui siapa, dan untuk mendapat yang terbaik, jadilah yang terbaik. Jika dirimu jatuh cinta, diamkanlah, kerana syaitan cuba menyelinap masuk untuk jadikannya cinta bernafsu..
ALLAH sentiasa mengetahui detik hatimu dan meraikan fitrahmu..=)

Ikhlas Kerana-Nya

Oleh: Ustazah Nik Suhaila bt Nik Muhammad


“Ikhlas itu jiwa yang murni, rahsia Allah di dalam hati, terlalu sembunyi tapi dapat dikesan, jika disuluh dengan saksama, nista dan puji tiada berbeza.” Itulah antara bait-bait lagu nasyid oleh salah satu kumpulan nasyid popular yang menggambarkan tentang keunikan sifat ikhlas.
Sifat ikhlas sangat istimewa. Walaupun sulit untuk diberikan pengertian yang tepat dan  tiada tanda-tanda jelas yang menggambarkan kehadirannya, namun ia memberikan pengaruh yang besar dan bermakna terutamanya dalam amalan dan perbuatan setiap yang bergelar Mukmin. Jika keikhlasan yang mendahului setiap gerak-geri insan, akan lahir keluhuran dan membuahkan keberkatan Allah SWT dalam setiap amalannya. Ia amat berkait rapat dengan persoalan hati seperti yang dimaksudkan oleh hadith Rasulullah SAW :“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya.”(Riwayat Bukhari & Muslim)
Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna menyatakan, “Ikhlas adalah setiap kata-kata, amalan dan jihad setiap Muslim hanya kerana Allah SWT, untuk mencari keredhaan dan ganjaran baik dari-Nya, tanpa memandang kepada imbuhan duniawi, kemewahan, kemegahan atau gelaran. Justeru, insan itu menjadi pengikut kerana akidah dan fikrah bukan kerana kebendaan atau sebarang kepentingan peribadi.”  Daripada kata-kata Imam Hasan al-Banna, dapat difahami bahawa sifat ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT. Amalan yang dilakukan tidak dicampuri oleh keinginan dunia, keuntungan untuk diri sendiri, mencari pangkat dan darjat, inginkan kemasyhuran, pujian dan dikenali seluruh dunia kerana sesuatu perkara yang ada pada dirinya.
Sebagaimana solat lima waktu yang menjadi tiang untuk meneguhkan dan sebagai perlambangan bagi seseorang yang bergelar Muslim, membezakan dirinya dengan penganut agama lain, sifat ikhlas menjadi penanda aras kepada amalan setiap insan. Justeru, ikhlas disebut di awal solat sebagai pembukaan kepada kesedaran minda bahawa apa yang sedang dilaksanakan ini hanya kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am, ayat 162 yang bermaksud :“Katakanlah olehmu, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk  Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir  sekalian alam.”
Sifat ikhlas di dalam diri insan boleh diumpamakan seperti akar tunjang bagi sebatang pokok.  Walaupun tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat oleh pandangan mata, namun ia menjadi penguat dan menyokong pokok itu tumbuh tegak dan teguh walaupun dirempuh oleh angin kencang dan ribut yang melanda. Keteguhan peribadi seperti ini akan melahirkan seorang Mukmin yang mampu bertahan walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.  
Keistimewaan Sifat Ikhlas
Kehadiran sifat ikhlas dalam diri individu memberikan pengaruh yang sungguh besar terutamanya ke arah pembentukan peribadi yang syumul dan berkualiti sejajar dengan syariat. Antaranya
Menjauhkan Sifat Berpura-pura
Sememangnya menjadi lumrah manusia jika melakukan kebaikan mereka inginkan pujian, dipandang hebat oleh manusia, mendapat ganjaran keduniaan seperti pangkat, darjat malahan harta benda. Diri akan merasa bangga dan puas jika mendapat ganjaran keduniaan yang diimpikan. Alangkah ruginya golongan yang hanya mendapat kelebihan dunia, di sisi manusia. Namun di sisi Allah SWT semuanya kosong dan tidak bermakna. Setiap amalan yang dilaksanakan, jika tiada keikhlasan hanyalah sesuatu yang hipokrit dan berpura-pura. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan perkara yang dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka”.  (Riwayat Baihaqi).
Membunuh Sifat Riya’
Sifat riya’ boleh memusnahkan pahala amalan yang dilakukan. Sekiranya melaksanakan sesuatu perkara di hadapan orang lain, perkara tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin supaya nampak cantik pada pandangan manusia. Namun, bila bersendirian dan tidak diketahui oleh orang lain, perbuatannya hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga”, tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Sifat suka menunjuk-nunjuk ini dapat dihapuskan sekiranya disertai dengan keihklasan niat kerana Allah SWT.
Membentuk Jiwa yang Kental
Seorang yang ikhlas, terselit dalam setiap amalannya niat melakukan kerja kerana Allah SWT. Dalam setiap detik kehidupan pula tidak semua perkara yang dilaksanakan meraih kesempurnaan. Ada cacat cela dan kekurangan yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan pelakunya. Justeru, dengan keikhlasan akan terbentuk jiwa yang kental, tidak mudah mengalah dengan ujian dan kepayahan. Sekiranya kecewa pada sesuatu masa, jiwa yang ikhlas akan segera terubat kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Secara tidak langsung, individu yang ikhlas akan kembali bangkit untuk melaksanakan yang terbaik kerana Allah SWT tanpa terus menerus terkurung dengan kekecewaan yang telah berlaku.
Memupuk  Sifat Redha dan Tenang
Dunia adalah pentas ujian. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “ Kami  beriman” sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?”. Bagi insan yang ikhlas menjalani kehidupannya, sudah pasti mereka akan sentiasa tenang walaupun terpaksa melalui kepayahan dan dugaan yang hebat. Mereka akan tetap meneruskan kehidupan dengan hati yang lapang dan redha dengan ketentuan-Nya di samping sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Kesimpulan
Keikhlasan adalah suatu sifat mahmudah yang patut disemai dalam setiap sanubari insan yang mengaku beriman. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorang yang benar-benar ikhlas dalam kehidupannya kerana ia berkait rapat dengan persoalan hati manusia yang sentiasa berbolak-balik dan tidak nampak tandanya dengan jelas. Apa yang boleh dilakukan, berusahalah dengan sebaik mungkin dalam melaksanakan amalan di dunia ini dan niatkan segala-galanya kerana Allah SWT. Hanya Dia yang selayaknya memberikan ganjaran yang benar-benar setimpal atas apa yang diusahakan. Bagi sesiapa yang telah beramal dengan penuh keikhlasan, tiba-tiba dipuja dan dipuji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, sedangkan itu semua tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan keikhlasan kepada Allah SWT, mereka itulah yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “ Rasulullah SAW telah ditanya   berkenaan seseorang yang telah berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?” Jawab Baginda, "Itulah khabar gembira yang didahulukan buat para Mukmin" (Riwayat Muslim).



*Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian.